HomeBMAksesori Kereta yang Bahaya untuk Digunakan dan Perlu Dielakkan

Aksesori Kereta yang Bahaya untuk Digunakan dan Perlu Dielakkan

Aksesori kereta merupakan aksesori tambahan selepas jualan (after-sales accessories) yang dipasang pada kereta. Ia menjadi kegilaan pemilik kenderaan hari ini dan mendapat permintaan yang tinggi dalam pasaran tidak kira pasaran online mahupun offline. Lambakan pelbagai pilihan aksesori kereta sedikit sebanyak mendorong pemilik kenderaan untuk memiliki aksesori kereta yang bersesuaian dengan karakter dan personaliti peribadi. Namun begitu, kebanyakan daripada pemilik kenderaan hanya memikirkan nilai estetika kereta semata-mata. Pemasangan aksesori kereta yang berbahaya, tidak sesuai dan tidak selamat boleh mendatangkan risiko kecederaan dan kehilangan nyawa.

aksesori kereta

7 Aksesori Kereta Boleh Membahayakan Nyawa Pemandu dan Penumpang

Penggunaan aksesori tambahan yang tidak sesuai menyebabkan bahaya seperti kemalangan, terbabas dan sebagainya. Oleh sebab itu, penggunaan aksesori tambahan yang sesuai boleh membantu mengelakkan insiden sebegini daripada berlaku. Carsome menyenaraikan 7 aksesori kereta yang biasa dijual dalam pasaran namun perlu dielakkan untuk rujukan dan panduan anda:

1. Memasang Aksesori Pendawaian Elektrik

Kebanyakan pemilik kenderaan memasang pelbagai jenis aksesori pendawaian elektrik dalam kereta seperti speaker, pemain LCD atau DVD dan sebagainya. Secara amnya, aksesori ini boleh didapati dengan mudah secara online dengan julat harga yang berbeza. Pelbagai pilihan aksesori yang tersedia pada harga yang berpatutan secara tidak langsung menarik minat pemilik kenderaan untuk memasang aksesori sebegini pada kereta tanpa memikirkan kualiti, ketulenan, waranti dan jaminan ketahanan produk.

Kebiasaannya, pemasangan aksesori elektrik seperti pembesar suara dan penggantian set lampu depan kereta baharu memerlukan pengubahsuaian pendawaian tambahan. Namun begitu, jika pendawaian elektrik tidak dilakukan mengikut spesifikasi yang betul, ia boleh menyebabkan pemanasan dan meningkatkan risiko kereta terbakar. Umumnya, kenderaan berisiko untuk terbakar sekiranya pendawaian sistem elektrik kereta tidak dilakukan dengan betul.

Penggunaan aksesori yang tidak berkualiti dan tidak mengikut spesifikasi juga boleh meningkatkan risiko kebakaran. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk membeli aksesori kereta yang tulen, selain mendapatkan perkhidmatan pendawaian elektrik profesional untuk mengelakkan kejadian litar pintas.

Artikel Berkaitan: Kereta Terbakar? Punca dan Cara Elakkan Kebakaran Kereta

2. Menggunakan Karpet Kereta yang Tidak Sesuai

Karpet kereta atau getah pelapik kaki merupakan salah satu aksesori kereta yang biasa digunakan oleh kebanyakan pemilik kenderaan. Ia berfungsi mengelakkan kekotoran daripada kasut seperti lumpur atau pasir melekat dan mengotorkan lantai kereta. Namun begitu, penggunaan karpet kereta yang tidak mengikut saiz yang betul dan sesuai boleh membahayakan nyawa anda. Kebanyakan karpet kereta atau getah pelapik kaki yang biasanya dijual dalam pasaran tidak dipotong mengikut saiz yang sesuai dengan lantai kenderaan anda.

Penggunaan karpet kereta atau getah pelapik kaki jenis OEM ini perlu dielakkan kerana ia berpotensi untuk tersangkut di bahagian pedal brek atau pedal minyak. Terdapat beberapa insiden yang pernah berlaku membabitkan karpet kereta tersangkut yang menyebabkan kenderaan hilang kawalan. Baru-baru ini, berlaku insiden sebuah kereta Proton Saga hilang kawalan lalu merempuh sebuah Honda City serta tiga buah gerai makanan di Jalan Taman Mesra, Kajang. Kejadian tersebut berpunca daripada karpet kereta yang tersangkut di bawah pedal brek.

Sekiranya anda ingin menggunakan aksesori ini, anda disarankan untuk menggunakan aksesori asli yang dijual oleh pengedar kereta. Meskipun ditawarkan pada harga yang sedikit mahal, ia menawarkan kualiti yang lebih premium dan direka khusus untuk lantai kereta anda. Ia sekali gus menjamin keselamatan dan mengurangkan risiko karpet kereta tersangkut dan sebagainya.

3. Pelapik Stereng atau Steering Cover yang Licin

Oleh sebab itu, pemasangan aksesori seperti steering cover yang tidak sesuai boleh menjejaskan prestasi dan fungsi stereng kereta. Tidak dinafikan, steering cover boleh menyerlahkan bahagian dalaman kereta dengan elemen mewah dan eksklusif. Malah, pengguna juga boleh menyesuaikan steering cover dengan warna yang sesuai mengikut pilihan. Meskipun begitu, penggunaan aksesori sebegini adalah tidak digalakkan lebih-lebih lagi jika tidak mengikut spesifikasi yang betul dan menggunakan material yang tidak berkualiti. Ini kerana, ada sesetengah material yang licin dan tidak memberi cengkaman yang diperlukan.

Penggunaan steering cover dengan material yang tidak sesuai boleh menyebabkan tangan tergelincir daripada stereng. Ia secara tidak langsung boleh menyebabkan kenderaan hilang kawalan dan terbabas. Sekiranya anda ingin menggunakan steering cover untuk stereng kereta anda, beli material yang bersesuaian yang tidak licin dan menyerap peluh. Anda juga disarankan untuk mendapatkan aksesori sebegini daripada pengedar kereta anda kerana ia biasanya mempunyai jaminan kualiti dan waranti untuk keselamatan anda.

steering cover

4. Memasang Tinted Lampu Kereta

Selain itu, kebanyakan pemilik kenderaan memilih untuk menggelapkan lampu depan dan belakang dengan tinted gelap. Meskipun cara ini menjadikan kereta tampil lebih sporty, garang dan menarik, namun sebenarnya ia boleh membahayakan nyawa anda dan juga orang lain. Lampu kereta yang digelapkan (smoked) boleh meningkatkan risiko kemalangan kerana ia mengurangkan kadar intensiti cahaya sekali gus menjadikannya lebih samar, gelap dan kelam. Perbuatan tinted lampu kereta boleh mengganggu tahap ketelusan pencahayaan dan mengurangkan jarak penglihatan pemandu. Malah, ia juga boleh menyukarkan tahap ketelusan pencahayaan terutamanya pada waktu malam.

Tinted lampu kereta juga mengurangkan kadar kebolehlihatan lampu kereta terutamanya semasa menekan brek, menggunakan signal, menyalakan lampu hazard dan sebagainya. Ia dalam masa yang sama menyukarkan kenderaan anda dilihat oleh kenderaan lain terutamanya pada waktu malam. Oleh sebab itu, sebarang pengubahsuaian atau penambahan aksesori tambahan kereta yang berisiko membahayakan nyawa anda perlu dielakkan untuk keselesaan dan keselamatan anda sepanjang pemanduan.

Artikel Berkaitan: Aksesori Lampu Kereta yang Menjadi Kesalahan, Pilihan Lampu Halogen, Lampu HID atau Lampu LED?

5. Menggunakan Dummy Buckle Tali Pinggang Keledar

Tali pinggang keledar merupakan peranti keselamatan penting dalam kenderaan. Ia berfungsi melindungi pemandu dan penumpang daripada situasi berbahaya seperti kemalangan atau kereta tiba-tiba berhenti mengejut. Tali pinggang keledar dapat mengelakkan pemandu dan penumpang daripada terpelanting dan tercampak keluar daripada kenderaan atau terhantuk pada bahagian dalaman kereta sekiranya kenderaan terlibat kemalangan atau terbalik. Ia sekali gus dapat mengurangkan impak kemalangan dan mengelakkan risiko kematian atau kecederaan serius.

Oleh sebab itu, pemasangan aksesori tambahan seperti dummy buckle pada tali pinggang keledar adalah tidak digalakkan. Menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), penggunaan dummy buckle atau alat nyah aktif penggera tali pinggang keledar boleh memberi kesan buruk dan menjejaskan prestasi sebenar peranti ini. Penggunaan aksesori ini juga memberi impak perlanggaran yang sama seperti tidak memakai tali pinggang keledar. Malah, penggunaan aksesori ini juga boleh menyebabkan beg udara tidak berfungsi semasa kemalangan.

6. Meletakkan Hiasan Dashboard Kereta dan Parcel Tray

Jika tali pinggang keledar merupakan sistem perlindungan utama untuk pemandu, beg udara pula merupakan sistem perlindungan sekunder sekiranya berlaku kemalangan. Namun begitu, kebanyakan pemilik kenderaan gemar meletakkan aksesori tambahan dan hiasan kecil pada dashboard kereta. Secara amnya, pemasangan hiasan dashboard kereta seperti pelapik (dashboard covers) boleh menjejaskan prestasi beg udara dan membahayakan nyawa anda. Sekiranya dalam situasi kecemasan, hiasan dan aksesori tambahan sebegini boleh menghalang beg udara daripada kembang sepenuhnya.

Objek-objek hiasan dan aksesori pada dashboard kereta juga boleh melantun dan mencederakan anda dan penumpang. Semasa kemalangan, tali pinggang keledar akan diketatkan dan beg udara akan diaktifkan dalam masa yang sama. Kelajuan beg udara mengembang semasa diaktifkan boleh mencecah 100 km/j hingga 300 km/j bergantung pada kelajuan dan impak kemalangan. Selain itu, jika anda perhatikan di bahagian belakang (parcel tray) kenderaan lain semasa memandu, kebanyakan pemilik kenderaan meletakkan aksesori seperti bantal, soft toy, kotak tisu dan sebagainya.

Meskipun ia membuatkan kereta anda tampil lebih menarik, ia boleh membahayakan anda. Ini kerana, ia menghalang pandangan belakang melalui cermin pandang belakang. Dalam kes yang lebih buruk, objek-objek ini mungkin terpelanting dan mencederakan anda dan penumpang disebabkan oleh impak kemalangan yang lebih tinggi.

7. Menggunakan Rim, Tayar Kangkang

Pengubahsuaian melampau seperti pemasangan rim dan tayar kangkang kini menjadi trend terbaharu dalam kalangan pemilik kenderaan di Malaysia. Penggunaan rim atau tayar yang terkeluar dari ruang roda atau turut dikenali sebagai hellaflush ini berpotensi menyebabkan risiko kemalangan dan kehilangan nyawa. Selain itu, penggunaan aksesori tayar ini juga meningkatkan penggunaan bahan api, mengurangkan kecengkaman tayar dan menjejaskan kecekapan tayar semasa membrek terutamanya pada permukaan jalan yang basah.

Kajian oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) juga turut menunjukkan penggunaan tayar sebegini boleh menyebabkan tayar pecah terutamanya pada kelajuan tinggi. Kenderaan yang menggunakan rim dan tayar kangkang perlu melalui pengubahsuaian tertentu. Ia biasanya akan menggunakan rim yang lebih lebar berbanding saiz tayar. Selain itu, sistem suspensi kereta dan sudut kamber (camber) kereta juga turut akan diubah untuk menjadikan kereta lebih rendah. Ia sekali gus menyebabkan tayar terkeluar daripada ruang roda dan berkedudukan senget menyebabkannya kelihatan seperti terkangkang.

Pengubahsuaian melampau terutamanya pada sistem suspensi dan sudut kamber ditambah dengan beban yang berlebihan boleh menyebabkan kerosakan yang serius pada absorber kereta dan komponen sistem suspensi kereta yang lain. Menurut Polis Diraja Malaysia, trend mengubah suai tayar kangkang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 6 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Peraturan 138 Kaedah-Kaedah Lalu lintas Jalan 170/59. Jika disabit kesalahan, pengguna boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih daripada enam bulan.

HellaFlush atau Stance

Lindungi diri dan keluarga anda. Elakkan pengubahsuaian atau pemasangan aksesori kereta yang boleh membahayakan diri anda, keluarga dan orang lain. Selain itu, sekiranya anda merancang untuk membeli kereta terpakai atau menjual kereta terpakai lama anda, layari laman web Carsome untuk info lanjut. Carsome merupakan platform jual beli kereta terpakai yang menawarkan pelbagai pilihan kereta terpakai yang berkualiti dan terbaik untuk anda.

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular